Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru

Monday, December 13, 2004

Just another letter

From Utusan Online

Musykil farmasi jual benda mencurigakan

Saudara Pengarang,
SAYA berasa hairan dan keliru dengan fungsi kedai farmasi yang kian menjadi tumpuan para pelanggan ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Seperti kita sedia maklum, selain hospital dan klinik, farmasi sering menjadi tumpuan untuk membeli ubat-ubatan kerana menjimatkan masa, tenaga dan dapat menggelakkan kesesakan lalu lintas kerana lebih dekat dan mudah didapati dengan segera.

Persoalannya wajarkah kedai farmasi menjual barang-barang haram semata-mata untuk mengaut keuntungan yang berlebihan?

Saya pernah bekerja di sebuah kedai farmasi dan di sini ingin berkongsi pengalaman. Saya amat berminat dalam bidang farmasi, malangnya keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak cukup kuat untuk saya menceburi bidang farmasi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Walaupun bekerja di farmasi dalam usia yang mentah tetapi saya dapat mengenali ubat-ubatan yang dijual dan dibeli oleh pelanggan.

Kedai farmasi tempat saya bekerja dahulu menjual tiga jenis jarum berwarna perak (kuning), biru dan putih berharga 50 sen dan jarum yang panjang berharga RM1.00. Saya dapat membezakan antara ubat dan benda haram, kerana saya bukannya buta ilmu.

Semasa saya baru bekerja di situ, saya dimarahi oleh majikan kerana tidak memasukkan `ubat' seperti yang digelarkannya ke dalam plastik. Semestinya pelanggan yang membeli jarum menggunakannya untuk dadah. Ada yang saya lihat begitu selekeh dan yang paling menyedihkan kebanyakannya adalah lelaki Melayu.

Disebabkan ada peniaga yang ingin mengaut keuntungan sehingga berani menjual benda haram ini sekali gus meningkatkan lagi bilangan penagih dadah. Hanya jarum penagih dadah sahaja dijual dalam kedai tersebut.

Seorang pekerja Melayu yang lebih senior daripada saya memberitahu bahawa pil ekstasi turut dijual tiga atau empat biji sekotak dengan harga RM20 dan ubat sirap yang boleh memabukkan.

Sebagai seorang Islam saya dikira bersubahat tetapi sekarang saya telah berhenti daripada kerja itu.

Kepada pihak yang terlibat saya berharap supaya tidak membelakangkan undang-undang kerajaan semasa berniaga dan insaflah.

Semoga pihak Kementerian Kesihatan dapat memantau dan membuat pemeriksaan mengejut di kedai-kedai farmasi atau pun menyamar sebagai pembeli.

Dengan cara ini dapat mengatasi penjualan ubat-ubat secara tidak betul. Sesungguhnya golongan bijak pandai adalah golongan yang tahu hukum alam dan undang-undang negara. - PERINTIS KEADILAN, Selangor.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home