Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru

Sunday, December 12, 2004

What people said - in mono tone.

From Utusan Online

Orang ramai berbelah-bahagi cadangan henti ubat percuma

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Orang ramai berbelah-bahagi dan mengambil sikap berhati-hati dengan cadangan kerajaan untuk menghentikan pemberian ubat murah tertentu secara percuma kepada semua pesakit.

Menurut mereka, jika cadangan itu hanya melibatkan pesakit berkemampuan maka ia wajar dilaksanakan.

Mereka berpendapat golongan miskin masih perlu dibantu dengan kemudahan tersebut kerana ia tertakluk di bawah tanggungjawab kementerian dan kerajaan.

Seorang guru, Mohd. Fadzillah Zainal, 34, berkata, tindakan menghentikan pemberian ubat murah secara percuma itu akan memberi manfaat jika ia digantikan dengan pemberian percuma ubat yang lebih mahal dan tidak melibatkan golongan miskin.

``Jika tindakan ini dapat digantikan dengan pemberian percuma bagi ubat yang mahal, ia seperti memberi peluang kepada pesakit yang tidak mampu untuk mendapatkan ubat mereka.

``Pelaksanaan ini secara tidak langsung akan menjadi satu kerja amal yang dapat disumbangkan kepada golongan yang susah,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Norlela Mahat, 33, juga seorang guru berkata, tindakan itu adalah wajar bagi pesakit yang berkemampuan namun ia tidak patut dilaksanakan kepada pesakit daripada keluarga miskin.

Jelasnya, negara ini masih mempunyai penduduk yang miskin yang tidak mampu walaupun untuk membeli ubat yang murah.

``Lagipun kerajaan perlu sedar bahawa kesihatan penduduknya adalah tanggungjawab kementerian dan mereka yang miskin perlu dibantu,'' katanya.

Mereka berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Kementerian Kesihatan yang membayangkan kemungkinan menghentikan pemberian ubat-ubat berharga murah tertentu kepada pesakit.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abd. Latif Ahmad berkata, untuk percubaan, farmasi swasta akan diwujudkan di Hospital Putrajaya dan Selayang untuk pesakit membeli ubat tertentu yang tidak lagi dibekalkan oleh hospital kerajaan.

Difahamkan, antara ubat yang paling banyak diberikan secara percuma ialah Paracetamol (ubat demam), ubat penahan sakit dan Piriton (selesema) yang mana kosnya kurang daripada 10 sen sebiji.

Seorang suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Thevaki, 51, berpendapat, tidak semua pesakit dapat membeli ubat yang mereka perlukan terutama golongan miskin.

``Bagaimanapun, jika tujuan pelaksanaannya baik, tidak ada masalah untuk rakyat menerimanya. Apa yang kita harapkan kebajikan orang miskin tidak diabaikan,'' katanya.

Seorang pesakit luar Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) yang ingin dikenali sebagai Mohamad Fakir, 32, berkata, pelaksanaan cadangan tersebut akan membebankan golongan yang tidak mampu seperti pesakit-pesakit miskin.

Bagaimanapun, seorang pesara, K. Chinnih, 57, mempunyai pendapat yang berbeza. Katanya, tindakan menghentikan pemberian percuma ubat murah itu patut dijalankan kerana majoriti rakyat Malaysia mampu membeli ubat terbabit.

Bagi seorang akauntan, Pui Yee Lew, 37, juga bersetuju dan berkata, cadangan itu wajar dilaksanakan kerana banyak ubat murah tidak digunakan oleh pesakit sebaliknya dibuang begitu sahaja.

``Cadangan ini boleh mengelakkan pembaziran tetapi pelaksanaannya perlu dilakukan dengan terperinci bagi mengelakkan mereka betul-betul tidak mampu, teraniaya,'' jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. N. Arumugam berkata, kerajaan perlu mengkaji keberkesanan operasi farmasi swasta yang akan diwujudkan apabila cadangan menghentikan pemberian percuma ubat berharga murah dilaksanakan kelak.

Katanya, jika dua buah farmasi swasta akan diwujudkan di Hospital Putrajaya dan Hospital Selayang, Selangor didapati berkesan, kerajaan boleh mewujudkan lebih banyak farmasi swasta di hospital lain.

Arumugam menambah, beliau yakin cadangan menghentikan pemberian percuma ubat berharga murah kepada pesakit dapat mengelak kerajaan menanggung kos tinggi dalam menyediakan kemudahan kesihatan kepada rakyat.

``Namun, saya tetap menyokong cadangan kementerian untuk terus menyediakan perkhidmatan ubat secara percuma kepada individu tidak berkemampuan,'' ujarnya.


From Berita Harian

Syor tubuh farmasi swasta dibantah

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengkaji semula cadangan mewujudkan farmasi swasta di setiap hospital kerajaan untuk menjaga kepentingan pesakit miskin, kata Ketua Biro Sukan dan kebudayaan Pemuda Gerakan, S Paranjothy.

“Jika kerajaan masih tetap dengan keputusannya untuk melaksanakan cadangan itu, saya yakin ramai antara mereka (golongan miskin) yang tidak mampu membeli ubat yang dicadangkan akan merana,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam bagi mengulas pengumuman mengenai cadangan itu oleh Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek.

Menteri itu berkata kerajaan memberi subsidi berjumlah RM800 juta daripada kos ubat-ubatan setiap tahun bagi para pesakit yang membayar hanya RM1 bagi semua ubat-ubatan yang ditentukan oleh doktor.

Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata amalan sesetengah doktor di hospital kerajaan yang memberikan ubat secara berlebihan dan tidak perlu kepada pesakit juga akan dihentikan bagi mengelakkan pembaziran.

“Saya membantah langkah mewujudkan farmasi swasta di hospital kerajaan. Menteri itu berkata pesakit tidak menghargai rawatan yang diberikan untuk nilai RM1 dan sudah menjadi lumrah manusia untuk berfikir apabila benda murah tentu berkualiti rendah. Mungkin beliau (menteri) perlu memberitahu rakyat mengapa beliau membuat keputusan itu,” katanya.

Paranjothy juga berkata, arahan kepada semua doktor di hospital kerajaan supaya tidak memberikan ubat secara berlebihan adalah ‘secara langsung mencampuri kebebasan profesional dan pengendalian doktor kerajaan’.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home