Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru

Friday, December 10, 2004

Another Sad Story

From Berita Harian

Dua maut dirempuh ketika melintas

MERSING: Hasrat tiga sekeluarga makan mi segera tidak kesampaian apabila mereka dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan untuk membeli makanan itu di Kilometer 2, Jalan Endau-Mersing, malam kelmarin.

Mereka yang terbunuh ialah Mohd Dom Ali, 36, dan anak sepupunya, Amirul Abu Bakar, 7. Bagaimanapun, kakak tiri Amirul, Norkasifah Shamsudin, 10, cedera parah dan keadaannya kritikal. Dia kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Bapa Amirul, Abu Bakar Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika ketiga-tiga mangsa menyeberang jalan kira-kira 10 meter dari rumah mereka di Kuarters Jabatan Kerja Raya, Endau kira-kira jam 8 malam.

Beliau berkata, Mohd Dom dikatakan membawa dua beradik tiri itu, Amirul dan Norkasifah untuk membeli mi segera di pasar mini berhampiran seberang jalan rumah mereka.

“Sebaik saja melintas jalan, mereka dirempuh sebuah kereta yang sedang menghala ke Endau. Bagaimanapun, ketika kejadian, saya tiada di rumah kerana bekerja,” katanya ketika ditemui Berita Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Rosli Md Nizam, berkata kereta terbabit yang dipandu pegawai Pejabat Agama Daerah, di sini dalam perjalanan dari arah Mersing menuju Endau dalam hujan renyai.

Katanya, polis percaya kejadian itu disebabkan kesilapan pejalan kaki yang teragak-agak sehingga berpatah balik selepas melintas jalan.

Katanya, pemandu kereta itu dipercayai sudah berusaha mengelak ke sebelah kiri jalan apabila melihat ketiga-tiga mangsa melintas jalan, tetapi gagal berbuat apa-apa apabila mangsa berpatah balik selepas menyedari kehadiran kereta terbabit.

“Ketika kemalangan, jalan agak licin kerana hujan renyai menyebabkan Mohd Dom yang dilanggar itu parah di kepala mati di tempat kejadian, manakala Amirul yang juga parah di kepala meninggal dunia di Hospital Mersing.

“Manakala Norkasifah yang turut parah di kepala kini kritikal dan terpaksa dirujuk ke HSA untuk rawatan rapi,” katanya di sini, semalam.

Rosli berkata, pihaknya sudah menahan pegawai agama yang berusia 28 tahun, dipercayai dalam perjalanan ke sebuah rumah terbuka di Endau untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu.

Katanya, pihaknya akan mendakwa pegawai terbabit mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

“Kejadian ini satu tragedi menyedihkan dan boleh dielakkan. Oleh itu, saya menasihatkan semua pejalan kaki mengambil sikap berhati-hati ketika melintas jalan manakala pengguna jalan raya pula mematuhi had laju yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, mayat mangsa yang dibedah siasat di Hospital Mersing sudah dituntut keluarga mangsa dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Jemaluang, pagi semalam.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home