Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru

Friday, December 10, 2004

AIDS patient info need to be secret?

From Berita Harian

Keperluan rahsiakan data maklumat pesakit Aids

PENYAKIT Aids secara berterusan telah mendapat perhatian semua pihak sehingga diadakan Hari Aids Sedunia pada setiap 1 Disember.

Di Malaysia, jumlah pesakit Aids juga semakin meningkat dan sehingga kini 6,545 mati akibatnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek, berkata 20 kes baru HIV dikesan setiap hari dengan tiga daripadanya disahkan menghidap Aids manakala dua orang mati setiap hari berpunca daripadanya.

Tidak dinafikan, memang ada sejumlah penghidap Aids di negara ini yang tidak direkodkan oleh pihak berkuasa kesihatan kerana pesakit berkenaan tidak pergi mendapatkan rawatan di hospital.

Mereka mengetahui, seluruh ahli sains dan pakar perubatan dunia masih belum lagi menemui penawar bagi Aids, jadi mereka mencuba pelbagai kaedah perubatan tradisional yang juga tidak diketahui kemujarapannya.

Kebanyakan mereka berbuat demikian sebenarnya bagi mengelakkan orang lain mengetahui penyakit yang sedang mereka hidapi kerana kesannya amat besar jika rahsia penyakit mereka ini terbongkar.

Sememangnya sejauh mana tahap kerahsiaan data maklumat pesakit Aids dapat dirahsiakan masih menjadi punca kebimbangan khasnya kepada pesakit Aids sendiri.

Apabila disebut saja seseorang itu menghidap HIV/Aids, pesakit berkenaan akan mengalami satu stigma dan risiko didiskriminasi yang tidak akan berlaku terhadap pesakit yang menghidap penyakit lain.

Kebanyakan masyarakat beranggapan Aids hanya akan dihidapi seseorang yang terbabit dalam hubungan seks bebas dan di luar tabii serta mengambil dadah melalui jarum suntikan.

Sedangkan HIV/Aids boleh dihidapi orang yang tidak berdosa seperti wanita mangsa rogol, pesakit mangsa kecuaian perubatan, isteri yang setia yang berkahwin tanpa mengetahui latar belakang perlakuan suaminya dan kanak-kanak.

Tentu kita masih ingat bagaimana pada 8 November 2002, Mahkamah Tinggi Temerloh menetapkan jumlah ganti rugi am sebanyak RM500,000 kepada Saidi Ahmad kerana kecuaian perubatan yang berlaku memberikan darah yang tercemar dengan virus HIV kepada ibunya.

Saidi dan anaknya juga telah menuntut ganti rugi RM30 juta kerana isterinya meninggal dunia akibat dijangkiti HIV/Aids sewaktu menerima rawatan di Hospital Raub pada 1994.

Di Kedah, Bashah Mustaffa mengemukakan saman RM100 juta kerana kelalaian pihak hospital memberikan darah mengandungi HIV.

Walaupun berita seumpama ini mendapat liputan meluas media, masyarakat tetap dengan mudah menggolongkan semua pesakit Aids adalah golongan yang rosak akhlaknya.

Kebimbangan melampau seluruh anggota masyarakat terhadap Aids mengakibatkan pesakit ini dianggap seperti mayat atau jembalang hidup.

Keperluan tahap kerahsiaan tinggi terhadap maklumat pesakit Aids amat diperlukan bagi memastikan pesakit Aids tidak didiskriminasi dan dipulaukan masyarakat.

Ini sekali gus akan memberikan keyakinan kepada pesakit Aids tampil ke depan untuk mendapatkan rawatan.

Usaha mendapatkan rawatan yang diperlukan dan mengambil langkah pencegahan perlu supaya penyakit ini tidak tersebar luas. Ia juga akan memberikan hak kepada pesakit untuk menentukan siapa yang perlu tahu maklumat kesihatan diri mereka dan sekali gus menghormati hak mereka sebagai individu.

Kerahsiaan maklumat pesakit Aids sering menjadi pertimbangan di antara keperluan kepentingan peribadi pesakit dengan dimensi kepentingan kesihatan awam keseluruhannya. Sememangnya diakui, peraturan mengenai kerahsiaan maklumat pesakit bukanlah sesuatu yang mutlak.

Maklumat pesakit Aids boleh diberikan kepada pengamal perubatan bagi membantu mengawal dan menjaga kesihatan pesakit Aids.

Kerahsiaan maklumat pengamal perubatan yang menghidap Aids juga perlu dimaklumkan kepada orang tertentu bagi mengelakkan jangkitan berlaku kepada pesakit yang dirawatnya atau untuk mengelakkan timbulnya tindakan undang-undang oleh pesakit terhadap pengamal perubatan yang menghidap Aids.

Maklumat ini juga perlu dimaklumkan kepada pasangan pesakit Aids bagi mengelakkan risiko jangkitan kepada pasangan berkenaan. Di samping itu, kerahsiaan data maklumat pesakit Aids dalam keadaan tertentu dan tahap tertentu boleh dimaklumkan kepada orang lain bagi tujuan pembelajaran perubatan, rekod perubatan, penyelidikan dan audit.

Kebimbangan bocornya kerahsiaan data maklumat pesakit Aids akan timbul dalam urusan keperluan insurans, keperluan pekerjaan dan pendermaan darah.

Walaupun ada perundangan dan peraturan di Malaysia mengenai kerahsiaan maklumat pesakit yang menghidap Aids, faktor kerahsiaan ini masih menjadi kebimbangan besar kepada semua pesakit Aids di Malaysia.

Kita dapat lihat dalam beberapa kes pesakit Aids di Malaysia, bukan sekadar pesakit Aids berkenaan di pulau dan dianaktirikan oleh masyarakat, seluruh ahli keluarga dan saudara mara mereka turut mengalami nasib yang sama.

Dalam hal ini, pihak berwajib perlu mengambil langkah yang lebih berkesan bagi memastikan tahap kerahsiaan maklumat pesakit Aids sentiasa berada pada tahap tertinggi bagi mengelakkan pelbagai implikasi lain timbul.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home