Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru

Wednesday, December 15, 2004

Hospital awam antara termurah di dunia

From Berita Harian

Hospital awam antara termurah di dunia

KHIDMAT perubatan hospital awam boleh disifatkan sebagai antara yang termudah dan termurah di dunia kerana rakyat mampu mendapat rawatan dengan hanya dikenakan bayaran RM1.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek, berkata rangkaian perkhidmatan juga boleh didapati di seluruh negara menerusi 130 hospital kerajaan dan kira-kira 4,000 poliklinik serta klinik desa.

"Kecekapan khidmat perubatan negara tidak wajar dipertikaikan hanya semata-mata kerana masalah tertentu seperti serangan kulat di Hospital Sultan Ismail.

“Kita akui ada kelemahan dan usaha sentiasa diteruskan bagi menangani, umpamanya langkah memendekkan masa menunggu pesakit dan penyelarasan semula penggunaan tenaga kerja.

"Antara pendekatan yang diambil ialah meminta pengarah hospital turut menjalankan tugasan klinikal," katanya menjawab soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah).

Dr Chua berkata, buat masa sekarang 600 pengarah hospital dan pegawai kesihatan daerah diminta menjalankan kerja klinikal 10 jam seminggu selain melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Doktor dan kakitangan sokongan juga diagihkan mengikut keperluan bagi merawat pesakit selain memastikan penggunaan katil dimaksimumkan dengan mewujudkan pengurusan bersepadu.

Pada masa yang sama, doktor dan pakar perubatan bidang klinikal yang sudah bersara wajib, dilantik semula sehingga usia 65 tahun berdasarkan prestasi kerja semasa, termasuk untuk jawatan pegawai pergigian dan pegawai farmasi.

Justeru, Dr Chua menafikan rakyat sekarang kurang yakin dengan mutu rawatan di hospital kerajaan.

Katanya, tahun lalu saja hospital awam seluruh negara merawat 48 juta pesakit luar dan 1.7 juta yang memasuki wad manakala tahun depan dijangka 49 juta pesakit luar dan dua juta menerima rawatan di wad.

Beliau turut memaklumkan bahawa petunjuk tahap mutu perkhidmatan hospital awam adalah lebih baik berbanding swasta.

Katanya, peningkatan mutu perkhidmatan juga sedang dilaksanakan di bawah Program Kepastian Kualiti dan setakat ini 19 hospital kerajaan memperoleh ISO 9000 dan 38 hospital lagi sudah mendapat Sijil Akreditasi Hospital.

Menjawab soalan Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN-Santubong) pula, Dr Chua berkata pengarah hospital harus seorang doktor kerana antara tugasannya ialah menyediakan laporan kaji selidik merangkumi statistik penyakit, kelahiran dan kematian serta kadar kematian bayi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home