Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru

Tuesday, December 14, 2004

Another opinion

From Berita Harian

Bayaran perubatan, ubat patut lebih munasabah

PERKHIDMATAN kesihatan adalah antara keperluan asasi dengan setiap negara mempunyai skim perkhidmatan kesihatan tersendiri. Di United Kingdom misalnya, ada National Health Service, manakala Amerika Syarikat menggunakan sistem berasaskan insurans.

Malaysia bagaimanapun masih tercari-cari formula yang paling praktikal. Apakah kita masih mahu mengekalkan sistem sedia ada atau perlu menukar kepada sistem lain yang dirasakan lebih sesuai?

Rakyat Malaysia cukup bertuah kerana kerajaan memberi subsidi yang besar untuk rawatan khususnya bagi pesakit luar.

Dengan hanya RM1 untuk pesakit luar dan RM5 di klinik pakar, seseorang boleh mendapat pelbagai ubat untuk tempoh yang cukup lama (hingga tiga hingga enam bulan) dan nilainya kadangkala mencecah ribuan ringgit.

Suatu ketika dulu pegawai perubatan dibenarkan memberi ubat hingga enam bulan atau setahun (syukur perkara ini tidak dibenarkan lagi).

Atas dasar itulah wujud pelbagai penyalahgunaan antaranya pesakit membuang ubat, tidak menyimpannya dengan baik, kehilangan ubat dan memberi kepada orang lain.

Pendek kata ramai pesakit tidak menghargai ubat yang diperoleh. Maklumlah mereka cuma perlu membayar RM1. Harga teh ais di kedai mamak lebih mahal daripada itu.

Ada juga orang yang berkemampuan sengaja tidak mahu membeli ubat mahal, sebaliknya sanggup menggunakan pengaruh politik, orang dalam dan sebagainya untuk memastikan hospital membeli ubat tertentu menerusi pesanan khas walaupun pada hakikatnya mereka mampu membelinya.

Ada juga syarikat besar yang enggan menyediakan klinik panel kepada pekerja khususnya golongan bawahan untuk mendapat rawatan di klinik tetapi bagi mereka yang berpangkat tinggi boleh mendapatkan rawatan di klinik dan hospital swasta tanpa had.

Mereka sanggup menyediakan kenderaan untuk membawa pekerja yang sakit ke hospital kerajaan kerana lebih murah dan mereka tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan.

Akibatnya kerajaan menanggung beban yang begitu besar sedangkan wang itu boleh disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan atau diguna untuk meningkatkan mutu perkhidmatan di hospital kerajaan.

Saya ingin mengemukakan cadangan yang mungkin boleh membantu menyelesaikan masalah ini seperti:

l Menaikkan kadar bayaran.

Bayaran asas RM1 dan RM5 tidak munasabah ketika ini kecuali kepada mereka yang kurang berkemampuan. Golongan ini perlu dibenarkan mendapat rawatan pada harga sedia ada atau dikecualikan daripada membuat pembayaran.

Bayaran antara RM5 hingga RM10 untuk pesakit luar atau antara RM15 hingga RM30 untuk klinik pakar lebih munasabah. Satu lagi cara ialah menetapkan bayaran berdasarkan jenis dan jumlah ubat yang diambil. Mereka yang memerlukan banyak ubat perlu membayar lebih daripada mereka yang memerlukan sejenis ubat saja.

Mereka yang memerlukan ubat yang mahal perlu membayar lebih daripada mereka yang memerlukan ubat biasa atau ubat yang murah.

l Memberi preskripsi yang lebih rasional.

Doktor juga perlu lebih prihatin dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas. Memberi ubat pada jangka masa yang terlalu lama boleh mengundang masalah. Ubat yang diberi perlu berdasarkan penyakit dan bukan semata-mata simptom yang dialami pesakit. Memberi preskripsi ubat secara berlebihan atau pelbagai jenis tidak digalakkan dalam bidang perubatan.

l Klinik panel untuk syarikat besar.

Syarikat besar dimestikan ada klinik sendiri di tempat kerja mereka. Agak aneh bagi syarikat yang mendapat keuntungan berjuta-juta ringgit enggan menyediakan kemudahan kepada pekerja.

l Sistem insurans kesihatan yang lebih teratur.

Buat masa ini kebanyakan syarikat insurans hanya pandai menabur janji kepada orang ramai. Kebanyakan pesakit mempunyai skim insurans tetapi mereka sering menghadapi masalah ketika membuat tuntutan. Pada ketika ini, syarikat insurans memberi pelbagai alasan kenapa mereka tidak boleh menanggung kos rawatan itu.

Penyakit jiwa atau berkaitan emosi khususnya tidak langsung mendapat perhatian syarikat insurans. Tidak ada syarikat insurans yang mahu membiayai kos rawatan pesakit jiwa atau gangguan emosi walaupun semakin ramai rakyat Malaysia yang mengalaminya sekarang.

Pada permulaan, syarikat besar perlu diwajibkan membeli insurans untuk semua pekerja sama ada secara sepenuhnya atau melalui subsidi. Syarikat insurans pula perlu lebih jujur dan tidak membuat pelbagai alasan untuk mengelak pembayaran.

Rawatan untuk pesakit luar juga perlu diberi perhatian kerana kebanyakan syarikat insurans tidak mahu membayar kos rawatan pesakit luar. Rawatan juga perlu menyeluruh dan tidak terhad kepada penyakit tertentu saja.

Saya berharap cadangan ini membantu menyelesaikan masalah yang hadapi kerajaan. Kita mengharapkan sesuatu dapat dilakukan demi masa depan anak kita dan mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

DR 1,
Alor Star
.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home