Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru

Wednesday, December 15, 2004

Another Opinion

From Berita Harian

Jangan salah guna khidmat kesihatan

ISU membabitkan pemberian ubat secara percuma di hospital dan kadar bayaran bagi mendapatkan rawatan di hospital kerajaan tiba-tiba menarik perhatian apabila Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Latiff Ahmad baru-baru ini menyatakan skim pemberian ubat tanpa dikenakan bayaran itu, mungkin dihentikan. Langkah itu dikatakan penting memandangkan kerajaan kini membelanjakan RM900 juta bagi membeli ubat-ubatan berbanding RM300 juta pada 1990. Ramai wakil rakyat Barisan Nasional mempersoalkan langkah itu dengan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamed Aziz mempertikaikan apakah dengan memberi Panadol dan ubat-ubatan lain membebankan kerajaan. Bagaimanapun, isu itu reda berikutan jaminan Setiausaha Parlimen kementerian, Lee Kah Choon, kerajaan tidak akan dengan mudah menaikkan kadar bayaran untuk rakyat tempatan dan juga pekerja warga asing.

Bagi rakyat biasa khususnya yang berpendapatan rendah, mereka tetap boleh bergantung kepada pemberian ubat percuma dan kadar bayaran rawatan paling minimum iaitu RM1 di hospital dan klinik kerajaan. Hanya kadar rawatan bagi pekerja asing dinaikkan iaitu tidak lagi RM1 tetapi RM15 seorang bagi rawatan pesakit luar, RM40 bagi rawatan dalam wad dan RM50 bagi kecemasan. Kadar rawatan bagi pekerja asing itu sebenarnya terpaksa dinaikkan memandangkan kerajaan membelanjakan kira-kira RM6.12 juta dan mungkin lebih setahun dari segi kos kesihatan khususnya bagi menampung belanja perubatan pekerja asing yang tidak mampu tetapi perlu diberikan rawatan atas dasar perikemanusiaan.

Dalam memperkatakan soal kesihatan ini kita perlu akur kos ubat-ubatan diberikan di hospital kerajaan pasti meningkat dan hakikat bahawa kementerian perlu menghalang sistem kesihatan awam dengan kadar bayaran antara termurah di dunia, daripada disalahgunakan. Apatah lagi pemerhatian kementerian mendapati ada sesetengah pesakit yang sebenarnya mampu membayar kos perubatan tetapi diberikan ubat yang mahal harganya dengan hanya membayar RM1 di hospital awam. Lantas tidak hairanlah kementerian mengkaji kemungkinan mengenakan bayaran setimpal bagi ubat digunakan untuk merawat penyakit berpunca daripada gaya hidup golongan berada seperti kegemukan, darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi.

Kerajaan sebenarnya sudah terlalu lama bermurah hati tetapi tidak seharusnya membiarkan mentaliti subsidi terus bersarang di kalangan golongan yang sebenarnya mampu membayar kos perubatan mereka. Kita mahu membantu terus pesakit kurang berada tetapi rakyat tidak boleh sentiasa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan. Malah sejajar perkembangan dan kemajuan negara, rakyat perlu lebih bertanggungjawab dan tidak menyalahgunakan sistem kesihatan kita.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home