Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru

Thursday, December 09, 2004

Philippines health crisis

From Berita Harian

Filipina hadapi krisis perubatan

MANILA: Filipina dikhuatiri terhumban ke kancah krisis perubatan selepas banyak hospital dan klinik rosak teruk akibat taufan melanda negara itu manakala bekalan air semakin kotor menyebabkan sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak mati.

Sebuah kapal pengawal pantai Filipina yang dilengkapi kemudahan perubatan, berlabuh di Pelabuhan Real manakala dua helikopter tentera laut Amerika Syarikat, mengadakan khidmat ulang alik antara Manila dengan kawasan yang teruk dilanda taufan di Pulau Luzon.

Pekerja bantuan menyatakan bekalan air dan perubatan semakin habis di Real, Infanta dan General Naka, tiga bandar utama yang menjadi padang jarak padang terkukur akibat dilanda ribut dan taufan Nanmadol minggu lalu.

Setiausaha Kesihatan, Manuel Dayrit memberitahu pemberita, kawasan bencana setakat ini masih belum dilanda wabak meskipun beribu-ribu orang bersesak di pusat pemindahan selain masalah bekalan air bersih yang tercemar.

“Kami risau keadaan di kawasan terbabit akan bertukar menjadi krisis perubatan,” katanya.

Beliau berkata, hospital di Infanta tidak dapat beroperasi langsung. Pemberita yang melawat hospital itu awal minggu ini mendapati hospital itu ditenggelami banjir lumpur dan semua bekalan ubat rosak.

Kebanyakan klinik turut rosak dan pegawai perubatan tempatan hilang tempat tinggal disebabkan ribut dan banjir yang masih menenggelami kebanyakan kawasan di rantau itu.

“Keadaan kesihatan akan bertukar menjadi bencana pada bila-bila masa saja lagi akibat banyak kemudahan musnah,” kata Dayrit.

Tabung Kanak-Kanak UNICEF dan Pertubuhan Kesihatan Dunia sudah pun menyuarakan kebimbangan mereka terhadap tahap kesihatan penduduk di pusat pemindahan yang terlalu sesak.

Menurut UNICEF lebih daripada 10 kanak-kanak mati akibat cirit birit di pusat pemindahan dan keadaan kesihatan dijangka lebih buruk akibat kekurangan air minuman.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata, risiko penduduk yang terselamat diserang penyakit malaria semakin tinggi berikutan banyak air yang bertakung selain keadaan cuaca.

“Kita sudah mencatatkan lebih daripada 10 kematian dan risiko lebih ramai mati adalah tinggi disebabkan ketiadaan air minuman,” kata jurucakap UNICEF, Damien Personnaz. – AFP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home